Tuesday, 14 May 2013

Cikgu Chomel : Bermulanya Peguam Kepada Guru..!

Profession perguruan merupakan haluan hidupku yang tidak mungkin ku ubah. Minatku menjadi pendidik semakin kuat apabila berhadapan dengan beratus-ratus muka suci yang tidak tahu pun apa yang baik dan tidak baik untuk mereka iaitu murid-murid. Permulaannya, tidak pernah terlintas di fikiranku untuk menjadi seorang guru suatu ketika dahulu. Anganku bercita-cita menjadi peguam, membela nasib orang yang tidak bersalah. Namun ianya terkubur dek tidak direstui oleh kedua-dua orang tuaku. Aku memilih cabang pendidikan untuk melanjutkan pelajaranku selepas keputusan SPM keluar walaupun  langsung tidak berminat. Guru-guru di sekolah menengahku melarang memilih untuk menjadi guru kerana pekerjaan ini sesuatu yang sangat sukar dan membebankan. Namun, aku tiada pilihan lain kerana aku tidak mahu melanjutkan pelajaran di tingkatan 6. Aku ingin merasakan persekitaran yang baru selain daripada sekolah. Akhirnya, rezekiku di Institut Pendidikan Guru untuk kursus Pendidikan Seni Visual, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Aku gembira kerana aku dapat melanjutkan pelajaran ku luar daripada negeriku iaitu Sabah. Dalam kegembiraanku terselit kesedihan kerana ibuku melarangku pergi jauh dari pangkuannya. Aku tiada pilihan lain, bukan derhaka tetapi ini adalah takdirku, ibuku akur.
                Bermulanya disitu, hinggalah ke hari ini. Aku sudah pun 4 tahun setengah di Keningau, Sabah. Bermacam dugaan, cabaran dan pengalaman yang telahku harungi. Asalnya ingin membela nasib orang yang tidak bersalah, kini aku sedar. Guru juga tugasnya membela nasib insan yang bernama murid. Gurulah yang mendidik, mengajar, agen perubah masyarakat, moderator dan agen hubungan sosial. Tanpa guru, musnahlah bangsa. Pengalaman aku berpraktikum selama 1 bulan di SK Ansip, Keningau, Sabah sangat mematangkan aku. Telatah dan karenah mereka mengingatkan diri aku yang pernah belajar di bangku sekolah dulu. Seorang yang nakal, manja, suka merajuk, menganggu rakan lain dan sebagainya. Aku tersenyum. Berbekalkan pengalaman yang ada, aku dapat berhadapan dengan murid-murid 2 Intelek, 3 Intelek, 5 Intelek, 5 Cemerlang dan 6 Intelek dengan rasa yakin. Murid juga kelihatan selesa dengan cara, personaliti dan keperibadianku. Rasa cintaku terhadap pekerjaanku semakin mendalam dan tidak mungkin aku akan berputus asa di dalam kerjaya ini. Aku cuba untuk mengubah persepsi dan spekulasi negatif masyarakat mengenai guru kerana guru amat penting di dalam pembangunan sesebuah negara. Segalanya bermula dari guru..

No comments:

Post a Comment