SAJAK “GURU O GURU” – USMAN AWANG (1979)
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
USMAN AWANG
1979
Sajak ini telah dideklamasikan oleh adik Joefandy untuk Majlis Hari Guru hari ini di SK Ansip, Keningau, Sabah. Sungguh menyentuh jiwa dan akhirnya sebak di dada telah mengeluarkan air mata yang berlinangan di ruang pipi. Dengan penuh perasaan dan semangat membuatkan diri semakin sedar bahawa betapa besarnya pengorbanan seorang guru. Tanpa guru, siapalah kita. begitu juga dengan diri ini, tanpa mereka, tidak mampu untuk berlayar bersama mereka di dalam sebuah perahu besar yang berada di lautan iaitu profesion perguruan. Selain pengorbanan, cabaran dan rintangan turut menduga. Jika rapuh semangat jiwa, jika rabak tekad di dada, tidak mampu bertahan sampai bila-bila. In Shaa Allah.. Di sudut hati ini akan cuba memikul segala tanggungjawab yang telah diberikan sehingga badan dikandung tanah,
Kepada semua guruku iaitu di Tadika Perpaduan Nurul Huda, Sarikei, Sarawak (1997-1998), SK Methodist Anglo Chinese, Sarikei, Sarawak (1999-2003), SMK Bandar Sarikei, Sarikei, Sarawak (2004-2008), dan Institut Pendidikan Guru Kampus Keningau, Sabah. (2009-kini),
"SELAMAT HARI GURU DAN AMPUN MAAF DIPINTA "
Guru Malaysia : 1 Aspirasi, 1 Agenda
dan tidak lupa kepada Ibubapaku, Puan Nergis Binti Jaffar dan Encik Muhammad Marzidi Bin Ahmad yang banyak berkorban. Terima Kasih diucapkan. Hanya Allah S.W.T yang mampu membalasnya.. Amin..
No comments:
Post a Comment