Sebenarnya memimpin keluarga ke jalan yang diredhai Allah SWT adalah satu jihad bagi seorang bapa untuk mendapat ganjaran besar di sisi Allah SWT. Setiap masa yang diluangkan untuk mendidik dan bermesra dengan anak dan ahli keluarga juga adalah sebahagian daripada jihad. Apa yang dilakukan tidak sia-sia. Setiap tenaga yang dicurahkan dan wang yang dibelanjakan untuk keluarga adalah sedekah. Balasan pahala yang disediakan amat besar. Bapa mithali mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
Dalam hal ini, Rasulullah SAW adalah contoh ikutan terbaik. Rasulullah SAW menjelaskan aspek pergaulan dan kasih sayang adalah intipati kebahagiaan sesebuah keluarga. Oleh itu Rasulullah SAW menganjurkan agar setiap bapa sentiasa melakukan yang terbaik untuk keluarganya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku.” (Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).
Cikgu Chomel mempunyai seorang bapa yang berlatarbelakangkan keluarga yang susah dan merupakan anak sulung daripada 9 orang adik-beradik. Mendapat pelajaran yang pertama di SK Abg Galau, Rajang, Sarawak dan melanjutkan pelajaran di SMK Sungai Paoh, Sarikei, Sarawak. Nama diberi ialah Muhammad Marzidi Bin Ahmad dan dikenali sebagai Iskandar.
Sejak zaman persekolahan lagi, Iskandar terpaksa bekerja keras untuk dirinya dan keluarga. Antara pekerjaan yang beliau lakukan pada setiap hujung minggu adalah menangkap ikan, mengutip hasil lada hitam, dan sebagainya. Lebih-lebih lagi beliau adalah anak sulung, maka tanggungjawab ini perlu dilakukan untuk membantu keluarga. Dari segi pendidikan pula, beliau memang tidak dapat berpeluang mendapat pendidikan yang sempurna atas dasar tanggungjawab yang dipikul.
18.November 1990, adalah salah satu tarikh yang amat bermakna bagi beliau. Tanggungjawab terhadap keluarga ditambah lagi dengan tanggungjawab sebagai suami. Beliau sememangnya seorang yang sangat rajin, tekun, dan penyabar orangnya. Pekerjaan sebagai buruh di kilang kayu sangat mencabar dengan punca pendapatan yang amat sedikit. Selepas itu, dikurniakan anak lelaki sulung iaitu Cikgu Chomel. Cikgu Chomel dijaga oleh ibu ketika bapa pergi bekerja. Namun, ibu memberitahu Cikgu Chomel bahawa setiap kali bapa pergi bekerja, Cikgu Chomel akan menangis kerana ingin mengikuti beliau. Pengorbanan bapa semakin terserlah apabila munculnya jiran sebelah rumah dan kehidupan mereka agak senang. Cikgu Chomel selalu menangis ketika kecil kerana ingin makan sosej dan burger seperti anak jiran sebelah. Gaji bapa ketika itu hanya RM180 sebulan dan jika ingin membeli barang keperluan terpaksa menggunakan perahu atau bot ke Sarikei yang memakan masa beberapa jam. Ibu dan bapa ketika itu mengelinang air mata apabila anaknya ini ingin makan dan mereka tidak dapat memberikannya. Hanya mereka sahaja yang tahu akan kesedihan dan kepayahan ketika itu. Cikgu Chomel seorang kanak-kanak ketika itu tidak tahu akan keperitan yang dihadapi oleh kedua-dua orang tua ini. Jika Cikgu Chomel tahu, tidak akan menyusahkan mereka untuk meminta segala yang tidak dapat mereka tunaikan kerana itu akan menambah kesusahan kepada mereka.
Kehidupan mula berubah apabila bapa membuat keputusan untuk berpindah ke Sarikei dan menceburi bidang perniagaan kecil-kecilan. Keluarga ibu agak senang dan ibubapanya memang aktif dalam perniagaan. Bapa belajar daripada datuk cara berniaga dengan betul dan menguntungkan. Alhamdulillah.. Sehingga kini bapa masih seorang "bussinessman". Kehidupan Cikgu Chomel dan adik beradik sekarang tidaklah senang sangat dan tidaklah susah sangat. Sederhana.
Antara kata-kata bapa yang tidak dapat dilupakan adalah, " Bapa sanggup bekerja keras, berpanas dan berhujan cari duit untuk anak demi kesenangan mereka dan mendapat pendidikan yang sempurna dan tidak seperti dirinya dulu ".
Cikgu Chomel sayang bapa dan sebab bapalah Cikgu Chomel hidup senang dan mampu berdiri sendiri pada hari ini. Namun, pengorbanannya amat besar. Terima Kasih Bapa.. Semoga panjang umur, dirahmati oleh Allah S.W.T dan dimurahkan rezeki. AMIN..